Perjalanan jauh dari utara untuk sampai ke bumi darul Ehsan. Akhirnya, tercapai juga hajat saya untuk menghadiri Majlis Ihtifal SIMDE 2009 di Hotel Singgahsana Petaling Jaya. Majlis ini diadakan pada 20 Disember 2009 bermula jam 8.30 malam. Walaupun penat mengawas peperiksaan SPM di salah sebuah sekolah di Taiping dan musafir, namun ianya hilang saat bertemu kawan-kawan seperjuangan dan anak-anak didik yang disayangi.
Ah, begitu mahalnya ukhuwwah yang dibina. Terasa diri ini juga sebahagian daripada warga SIMDE. Namun, apakan daya..diri ini telah lama berundur dari keluarga di sini.
Saat manis yang dikenang, tak lupa juga saat ketika pahit yang ditelan. Saat cemas mahupun saat ceria..semua berada dalam lipatan. Warga SIMDE silih berganti. Yang tinggal, masih tetap tabah dan sabar. Kental semangat para pendidik di SIMDE ibarat menggenggam bara api. Anak-anak yang dahagakan ilmu dan didikan acuan Al-Quran dan Sunnah Nabi, di sini tersedia segala. Ilmu dunia tak diketepikan, ilmu akhirat tidak dianaktirikan..
Itulah kelebihan yang ditawarkan di sekolah ini. Akademik dan al-Quran seiring sejalan. Semoga anak-anak didik sentiasa menjaga adab diri dan bersaing maju dalam mengejar impian mereka. Tak lupa juga warga pendidik SIMDE, teruskan perjuangan kalian kerana di luar sana ada insan yang sentiasa mendoakan bumi SIMDE ini hidup subur dengan tarbiyah Islam dan kasih sayang. Ingatlah, SAHAM-SAHAM yang kita lakukan itu terlebih mahal harganya di sisi Allah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan