Rabu, 9 Disember 2009

Jiwailah sesaat itu..


Masa itu emas..kata orang kebanyakan. Emas boleh dijual beli, namun masa tidak.Hatta kita ada segunung emas, kita tidak mampu untuk mengembalikan atau mengundurkan masa. Ianya berlalu, terus berlalu tanpa kita sedari....




"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran" Surah al-Asr: ayat 1-3




Bulan Disember hampir ke penghujung. Tahun 2009 bakal menutup tirai, tahun 2010 bakal menjengah dengan lembaran baru. Adakah kita benar-benar bersedia? Perjalanan hidup yang penuh dengan siri-siri ujian, cabaran mahupun dugaan. Kuatkah kita selama ini? Mampukah kita berhadapan semua ini? Atau tega diri ini pasrah tanpa mengaku kalah? Renungi dalam-dalam semua ini...




Di sebalik semua yang Allah takdirkan buat kita sebagai hambaNya, pasti di hujung sana ada terselit hikmah dan rahsia yang kita tidak ketahui. Bukankah takdir Allah selalunya manis??




Allah jualah yang mengangkat segala kesusahan dan keresahan, yang mana manusia sendiri tanpa sedar yang mereka berhak diuji. Dan Allah jua yang mengurniakan dengan sifatNya Maha Pemurah dan Maha Pemberi nikmat yang kita sendiri kadang-kadang lupa untuk mensyukuri.




Muhasabah.... itu yang afdal. Muhasabah diri untuk sesuatu perubahan dan peningkatan. Hidup ini adalah perubahan. Setiap saat dan waktu, pasti ada perubahan. Setiap nafas dan gerak laku, pasti ada peningkatan. Tiada yang lebih bermakna perubahan dan peningkatan itu adalah menuju redhaNya. Apa yang dikejar selama ini, apa yang dicari setiap hari, apa yang diimpikan dalam hidup ini...Bukankah untuk dibawa hingga mati?




Sebaik-baik peringatan ialah mati. Hidup kita ini adalah untuk mati, relakah kita? Ya, mati itu pasti. Setiap yang berNYAWA pasti akan merasai MATI. Orang-orang yang bersedia sahaja yang berani untuk menyahut seruan mati.Kita bagaimana?




Oleh itu, muhasabah dan ingat mati adalah jalan yang terbaik untuk memperbaiki diri. Usah biarkan diri kita terus hanyut tanpa pedoman, tanpa belas kasihan, tanpa bimbingan dan tanpa pertolongan TUHAN. Teruskan refleksi diri, koreksi dengan penuh hati-hati, mudah-mudahan kita jadi hamba yang sedar diri, hamba yang tahu hidup dan mati ini adalah untuk Ilahi.




Selamat Tinggal 2009..


Selamat Datang 2010..






Ahad, 22 November 2009


Sesaat Bersama Kenangan Terindah..

Perjalanan jauh dari utara untuk sampai ke bumi darul Ehsan. Akhirnya, tercapai juga hajat saya untuk menghadiri Majlis Ihtifal SIMDE 2009 di Hotel Singgahsana Petaling Jaya. Majlis ini diadakan pada 20 Disember 2009 bermula jam 8.30 malam. Walaupun penat mengawas peperiksaan SPM di salah sebuah sekolah di Taiping dan musafir, namun ianya hilang saat bertemu kawan-kawan seperjuangan dan anak-anak didik yang disayangi.


Ah, begitu mahalnya ukhuwwah yang dibina. Terasa diri ini juga sebahagian daripada warga SIMDE. Namun, apakan daya..diri ini telah lama berundur dari keluarga di sini.

Saat manis yang dikenang, tak lupa juga saat ketika pahit yang ditelan. Saat cemas mahupun saat ceria..semua berada dalam lipatan. Warga SIMDE silih berganti. Yang tinggal, masih tetap tabah dan sabar. Kental semangat para pendidik di SIMDE ibarat menggenggam bara api. Anak-anak yang dahagakan ilmu dan didikan acuan Al-Quran dan Sunnah Nabi, di sini tersedia segala. Ilmu dunia tak diketepikan, ilmu akhirat tidak dianaktirikan..
Itulah kelebihan yang ditawarkan di sekolah ini. Akademik dan al-Quran seiring sejalan. Semoga anak-anak didik sentiasa menjaga adab diri dan bersaing maju dalam mengejar impian mereka. Tak lupa juga warga pendidik SIMDE, teruskan perjuangan kalian kerana di luar sana ada insan yang sentiasa mendoakan bumi SIMDE ini hidup subur dengan tarbiyah Islam dan kasih sayang. Ingatlah, SAHAM-SAHAM yang kita lakukan itu terlebih mahal harganya di sisi Allah..







Musim Mempelai Bahagia...

Bulan November dan Disember boleh diisytihar sebagai bulan orang sibuk mengadakan kenduri kahwin. Tidak kira kenduri sanak saudara, kawan-kawan atau orang setaman atau sekampung dengan kita. Cuti persekolahan bermula..

Bagi yang mendapat kad undangan atau mendapat jemputan daripada tuan rumah, wajib bagi mereka memenuhi undangan tersebut melainkan ada keuzuran. Manakala bagi tuan rumah pula, alu-alukan dan raikan tetamu yang bertandang dengan muka yang manis dan layanan yang sepatutnya. Begitu adab-adab yang Islam ajarkan.

Semoga majlis yang diadakan mendapat keberkatan Tuhan. Bukannya mendapat pujian dari kalangan insan. Janganlah kita menurut kemahuan dan kehendak manusia sebagai jalan untuk mendapat keredhaan Allah..

Teristimewa buat pengantin baru..Cikgu Mohd Hisyam dan pasangan, Baizura dan Asri, Yati dan Kamarul, Rofidah dan pasangan, Anisah dan pasangan, Kak Suhaidah dan pasangan...last tak lupa Kak Fisah dan pasangan..semoga kalian berbahagia sampai akhir hayat. Harungi kehidupan rumahtangga ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Doa dariku..kalian suami isteri taat dan kuat pergantungan pada Ilahi dan sabar mengharungi segala dugaan.

Selamat Berjuang...!!!

Peperiksaan SPM dan STPM sedang berjalan. Semoga adik-adik di luar sana berjuang habis-habisan..dengan ilmu kalian dapat membahagiakan kedua ibu bapa, dengan ilmu kalian boleh pergi jauh, dengan ilmu juga kalian dapat mengecap apa yang diimpikan..
Telusuri medan juang dengan penuh sabar dan tenang. Semoga kejayaan sentiasa mengiringi kalian....!!!

Rabu, 15 Julai 2009

Pesanan buat Jiwa Insan...

Salam buat saudaraku yang seiman dan seperjalanan..

Semoga jiwa dan raga sentiasa mengharapkan kasih dan rahmat dari Yang Maha Esa. Sesaat diri ini bernafas, tak terhingga nikmat Tuhan. Oleh itu, jangan sia-siakan jalan dunia ini dengan perkara yang tiada manfaat kerana sesaat yang berlalu tiada dapat kita ketemu lagi........

Renungan .. Pasakkan iman mu seteguh-teguhnya, kerana pada iman itu ada nilainya di sisi Tuhan.