Rabu, 9 Disember 2009

Jiwailah sesaat itu..


Masa itu emas..kata orang kebanyakan. Emas boleh dijual beli, namun masa tidak.Hatta kita ada segunung emas, kita tidak mampu untuk mengembalikan atau mengundurkan masa. Ianya berlalu, terus berlalu tanpa kita sedari....




"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran" Surah al-Asr: ayat 1-3




Bulan Disember hampir ke penghujung. Tahun 2009 bakal menutup tirai, tahun 2010 bakal menjengah dengan lembaran baru. Adakah kita benar-benar bersedia? Perjalanan hidup yang penuh dengan siri-siri ujian, cabaran mahupun dugaan. Kuatkah kita selama ini? Mampukah kita berhadapan semua ini? Atau tega diri ini pasrah tanpa mengaku kalah? Renungi dalam-dalam semua ini...




Di sebalik semua yang Allah takdirkan buat kita sebagai hambaNya, pasti di hujung sana ada terselit hikmah dan rahsia yang kita tidak ketahui. Bukankah takdir Allah selalunya manis??




Allah jualah yang mengangkat segala kesusahan dan keresahan, yang mana manusia sendiri tanpa sedar yang mereka berhak diuji. Dan Allah jua yang mengurniakan dengan sifatNya Maha Pemurah dan Maha Pemberi nikmat yang kita sendiri kadang-kadang lupa untuk mensyukuri.




Muhasabah.... itu yang afdal. Muhasabah diri untuk sesuatu perubahan dan peningkatan. Hidup ini adalah perubahan. Setiap saat dan waktu, pasti ada perubahan. Setiap nafas dan gerak laku, pasti ada peningkatan. Tiada yang lebih bermakna perubahan dan peningkatan itu adalah menuju redhaNya. Apa yang dikejar selama ini, apa yang dicari setiap hari, apa yang diimpikan dalam hidup ini...Bukankah untuk dibawa hingga mati?




Sebaik-baik peringatan ialah mati. Hidup kita ini adalah untuk mati, relakah kita? Ya, mati itu pasti. Setiap yang berNYAWA pasti akan merasai MATI. Orang-orang yang bersedia sahaja yang berani untuk menyahut seruan mati.Kita bagaimana?




Oleh itu, muhasabah dan ingat mati adalah jalan yang terbaik untuk memperbaiki diri. Usah biarkan diri kita terus hanyut tanpa pedoman, tanpa belas kasihan, tanpa bimbingan dan tanpa pertolongan TUHAN. Teruskan refleksi diri, koreksi dengan penuh hati-hati, mudah-mudahan kita jadi hamba yang sedar diri, hamba yang tahu hidup dan mati ini adalah untuk Ilahi.




Selamat Tinggal 2009..


Selamat Datang 2010..